Ikhwanul Muslimin & Masa Depan Mesir.

| |



Revolusi 25 Januari di Mesir telah menarik perhatian dunia dengan menyaksikan penggulingan Hosni Mubarak selepas hampir 30 tahun berkuasa sebagai Presiden Mesir. Asas demokrasi dan tuntutan ekonomi telah membangkitkan kesedaran rakyat Mesir untuk bangkit menumbangkan rejim yang zalim dan mengamalkan kuku besi. Hari ini Negara Mesir sekali lagi mendapat perhatian media tempatan mahupun antarabangsa ekoran dari peristiwa pemilihan Presiden Mesir yang pertama pasca revolusi.

Proses pemilihan presiden kali ini menyaksikan tumpuan diberikan kepada calon-calon yang mempunyai latarbelakang yang islamik seperti beberapa nama ‘favourite’ iaitu Dr Abdel Monem Abul Futouh (mantan pimpinan kanan Ikhwanul Muslimin), Syaikh Hazim Abu Ismail (calon Salafi) , Dr Muhammad Salem al-Ewwa (mantan setiausaha Persatuan Ulama’ Sedunia) dan juga calon dari Ikhwanul Muslimin (IM) melalui Parti Kebebasan & Keadilan  (FJP) iaitu Ir Khairat Shatir.

Ikhwan Muslimin, yang memenangi pilihanraya parlimen dengan majoriti yang besar beberapa bulan lepas telah mencalonkan Ir Khairat Shatir sebagai calon bagi jawatan presiden. Keputusan ini diumumkan sendiri oleh Mursyidul ‘Am IM, Dr Muhammad Badie’ setelah Majlis Syura IM seramai 108 orang (110 jumlah sebenar) meluluskan keputusan tersebut. Ini merupakan satu keputusan yang mengejutkan sesetengah pihak, namun bagi pihak IM sendiri, keputusan meletakkan calon mereka bertanding jawatan presiden mempunyai sebab tersendiri memandangkan keadaan Mesir sekarang ini yang masih berada di bawah kuasa Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) bukannnya diserahkan kepada rakyat lagi.

Di sebalik itu, beberapa orang kanan Hosni Mubarak telah dicalonkan sebagai Presiden Republik Mesir seperti Omar Sulaiman, Ahmad Syafiq dan Amru Musa. Masing-masing mempunyai peranan yang tertentu semasa di bawah pemerintahan rejim Mubarak dan merupakan penentang kuat kepada Islam di Mesir. Keberadaan mereka dalam senarai calon menjadikan politik di negara republik ini semakin genting.

Perlu dimaklumi, angin perubahan di Mesir tidak dipandang enteng oleh negara-negara besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Israel, Eropah, Turki dan lain-lain. Perubahan pemerintahan dan dasar luar Mesir akan mempengaruhi ‘iklim’ beberapa buah negara. Israel dan AS pastinya tidak dapat duduk diam apabila menyaksikan IM memenangi majoriti kerusi parlimen Mesir yang diadakan baru-baru ini. Ini tanda awal Islam sebagai watak utama dalam pasca revolusi ini.

Jika diteliti, Israel dan AS tidak hanya bimbang pengaruh Islam akan kembali berakar di bumi anbiya’ itu tetapi dalam masa yang sama, mereka mungkin akan kehilangan ‘aset’ mereka yang paling bernilai iaitulah minyak. Terusan Suez merupakan salah satu lalu lintas mengangkut petroleum terpadat di dunia. Minyak juga merupakan senjata politik oleh negara Arab yang terlibat dalam perang Arab-Israel pada 1973-1974. Kerana itu menjadi keutamaan Israel dan AS untuk memastikan fundamental dan polisi luar negara Mesir tidak jatuh ke tangan golongan pro-Islamis.

Pemilihan Presiden Republik Mesir Mei ini akan menjadi penentu segala-galanya. Meskipun rejim zalim Hosni Mubarak telah pun tumbang beberapa bulan yang lalu, itu tidak bermakna Negara Mesir sudah pun bebas dari cengkaman musuh-musuh Islam. Majlis Perwakilan Rakyat Mesir telah mengeluarkan suatu bentuk draf menghalang konco-konco Hosni Mubarak daripada bertanding dalam pemilihan presiden kali ini namun draf itu enggan diiktiraf oleh SCAF. IM perlu mengatur strategi bagi memastikan kemenangan calon-calon pro-Islamis di Mesir atau Mesir akan kembali ke zaman kelam.


Muhammad Hafiz Bin Mansor.
Timb Presiden PERSADA.

Bersama sebarkan dan sila tinggalkan kritikan anda | Design by : SeutasTasbih Blog
Posted by (Ir) Muhammad Hafiz b Mansor on 00:22. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Ikhwanul Muslimin & Masa Depan Mesir."

Leave a reply