Ibn Rushd, Feuerbach dan Pencerahan Islam



Para sarjana telah bersetuju bahawa Filsafat Islam bermula dengan al-Kindi dan berhenti dengan kematian Ibnu Rushd.

Menyoroti pemikiran Ibn Rushd, antara perkara yang perlu kita akui adalah pemikiran dinamik dan liberal beliau sehingga membebaskan Eropah dari zaman gelap dan membawa kepada Reinassence. Averroes yang dianuti di barat(maghrib) tetapi tidak dipedulikan di timur(masyriq) adalah kerana atas fatwa fuqaha' yang beraliran ahli hadis yang melarang mempelajari filsafat.

Baik Averoisme Yahudi maupun Averoisme Kristian menganggap Ibn Rushd telah berjasa menyelesaikan persoalan pelik yang selama berabad-abad menjadi momok bagi para pemikir agamawan, yakni bagaimana mendamaikan wahyu dengan akal; filsafat dengan agama; para nabi dengan Aristotels. Dalam karyanya, Fasl al-Maqal, yang sudah diterjemahkan ke berbagai bahasa penting Eropah, Ibn Rushd menjawab semua persoalan ini dengan tuntas.

Pertama-tama, kunci dari persoalan itu terletak pada persoalan genting lainnya yang lebih mendasar, yakni apakah benar bahawa mempelajari filsafat itu haram? Untuk menjawab ini Ibn Rushd memberikan hipotesis. Menurutnya, secara legal-fiqh (syari’e) belajar filsafat itu punya beberapa kemungkinan: bisa dibolehkan (mubah), dilarang (mahdzur), dianjurkan (nadb), atau diharuskan (wajib)? Menurut Ibn Rushd belajar filsafat hukumnya: wajib atau sunnah (Fasl al-Maqal, 1968: 27).

Bagi yang mengikuti perkembangan filsafat Islam, jawapan Ibn Rushd itu jelas-jelas merupakan tujahan keras bagi para fuqaha dan ahli hadis yang memberikan fatwa haram atau paling kurang makruh mempelajari filsafat. Baginya, belajar filsafat adalah wajib, atau paling kurang sunnah. Hujah filsuf Cordova itu adalah ayat-ayat al-Qur’an.

Pertama, surah al-Hasyr ayat 2 yang menegaskan wajibnya manusia menggunakan qiyas ‘aqli (silogisme) dalam melihat berbagai persoalan.

Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.(59:2)

Kedua dan seterusnya adalah surah al-A’raf  ayat 184, surah al-An’am ayat 75, dan surah Ali ‘Imran ayat 191 yang semuanya menganjurkan manusia agar mempelajari alam-raya (mawjudat).

Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?(7:185)

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.(6:75)

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.(3;191)

Saya berminat untuk mengupas sikap liberal Ibn Rushd sebagai fuqaha kerana di Kuliah Syariah, kami akan membedah Bidayatul Mujtahid selama 4 tahun.

Klimaks bagi pemahaman Ibn Rushd dalam perjalanan hidupnya apabila terhasil kitab Bidayatul Mujtahid yang bermaksud "Permulaan bagi Mujtahid". Hidup dalam suasana jumud, taqlid dan dinamika intelektual yang terbatas, Ibn Rushd benar- benar memusing 360 darjah pemikiran di zamannya. Bidayatul Mujtahid adalah lonjakan paradigma sehingga saya berminat untuk mengiktiraf Ibn Rushd sebagai mujaddid di zamannya.

Selama ini pendekatan yang digunakan oleh fuqaha malikiyah adalah pendekatan tekstual, sementara Ibn Rushd(walaupun dia sendiri bermazhab Maliki) menawarkan alternatif baru yaitu pendekatan fiqh komparatif yang lebih luas dan tentunya bebas taqlid.

Era kejumudan ini ditandakan dengan dominasi fiqh tekstual, baik dari kalangan Mazhab Maliki mahupun Zhahiri. Itu menyebabkan munculnya  kesimpulan- kesimpulan dogmatik bahawa usaha para fuqaha klasik telah sempurna dan tidak memerlukan pembaharuan pemikiran. Kesimpulan ini seterusnya menjadi dalil bagi para muqallidin bahawa pintu ijtihad telah tertutup.

Karya ini bertujuan untuk mentabrak kejumudan intelektual, mengkritik fanatisme madzhab, dan menyegarkan kembali pemahaman fiqh, sehingga terbuka pintu ijtihad, serta menjadikan para penuntut fiqh ketingkat mujtahid. Hal itu  sebagaimana yang diungkapkan Ibn Rushd dalam muqaddimah kitabnya, “Tujuanku dalam kitab ini adalah menjelaskan masalah-masalah yang disepakati dan atau diperdebatkan oleh fuqaha dengan menghuraikan rahsia-rahsia perdebatan itu secara metodologis”. Lebih lanjut Ibn Rushd menegaskan, “Kitab ini aku tulis agar seorang penuntut fiqh mencapai tingkatan mujtahid”.

Dalam maudhu' ini, Ibn Rushd sesuai dipadankan dengan Ludwig Andreas von Feuerbach, ayat yang menggambarkan seluruh kehidupan Feuerbach sangat mudah, *"Tuhan yang pertama, akal- budi yang kedua dan manusia yang ketiga."*

Dari waktu ke waktu, manusia, atau kita, akan menemukan dirinya, dari rasa keyakinan baru. Untuk seorang anak muda, perjalanan itu masih panjang. Sekiranya dirinya terus-menerus berfikir, tak mati pada satu tahap, maka dirinya barangkali boleh berubah lagi. Sebaliknya, jika anak muda itu berhenti pada sesebuah kepercayaan tanpa-ampun, maka itulah dirinya, yang kelak terkekang dalam sebuah faham-mati.

Feuerbach jelas bukan dalam kategori demikian. Feuerbach sering berubah-ubah sampai menemukan pandangan yang paling memuaskan dirinya, biarpun akhirnya berlawanan dengan gurunya sendiri. Sikap kritis ini adalah kalimat dan azminat untuk menjadi filsuf. Inilah yang dilakukan Feuerbach.

Tulisan saya kali ini akan disimpulkan dengan memetik Hamka dalam Falsafah Ketuhanan, "..hingga akal sendiri menjadi beku tidak bergerak. Dan apabila telah timbul kebekuan itu, beku pulalah paham agama dan tidaj ada lagi bercahaya sinarnya. Itulah yang bernama Taklid! Taklid adalah musuh kemerdekaan Akal!''

Asyraf Muiz ialah seorang mahasiswa Universiti Islam Madinah merupakan seorang salafi yang berfikir secara liberal , demokratik dan sekular.

| | Selanjutnya »

‘Vergegenwärtigung’ Hijrah: Realisme dan Realiti


Pertama sekali, saya mengucapkan selamat Tahun Baru Hijriah 1433 kepada semua muslimin dan muslimat.


Tajuk makalah pada kali ini mengambil sempena buku tulisan Ismail al-Faruqi, ‘Hijrah: The Necessity of Its Iqamat or Vergegenwärtigung”. Secara permukaan, perkataan Jerman tersebut bermaksud ‘bayangan’ atau ‘persepsi’.

Realisme pula merupakan satu daripada beberapa faham yang mewarnai teori politik. Diterajui oleh ahli falsafah Greek, Thucydides dengan karya beliau, ‘The History of Peloponnesian War’, dan kemudiannya terus dimurnikan oleh pemikir lain selepasnya seperti Thomas Hobbes, Niccoló Machiavelli, dan E.H. Carr. Ringkasnya, realisme berkisar mengenai kecenderungan setiap Negara untuk berperang dan bermusuhan sesama sendiri. Hal ini disebabkan fitrah manusia yang suka bermusuhan, dan juga sistem anarki (ketiadaan autoriti peringkat global) dalam politik antarabangsa.

Sempena peristiwa bersejarah ini, mari kita sama-sama memahami persoalan pokok, kenapa Nabi SAW berhijrah?

Untuk menjawab soalan ini, saya ingin menerangkan dahulu cara pemikir lampau seperti Ibn Rushd dan Ibn Khaldun merungkai persoalan sejarah. Kedua-dua pemikir tersebut mempunyai epistemologi[1] mereka sendiri, iaitu mereka keluar daripada penjelasan biasa tentang peristiwa sejarah yang mengatakan bahawa semua yang berlaku merupakan takdir atau ketetapan Allah. Sebaliknya, mereka menganalisis sebab dan akibat kepada berlakunya sesuatu peristiwa. Sebab itulah, gereja sebelum zaman Pencerahan menuduh Ibn Rushd sebagai sekular kerana berfikir menggunakan jalur fikir yang berbeza dengan masyarakat pada zaman itu. Namun, jalur fikir inilah juga yang membawa Eropah keluar daripada zaman Gelap, kepada zaman Pencerahan dan Renaissance.

Sebagai seorang manusia, Nabi SAW tidak terlepas daripada perasaan sedih untuk meninggalkan Makkah ketika hendak berhijrah. Namun, Allah SWT Maha Mengetahui segala hikmah yang tersembunyi di sebalik perancangan-Nya.


Kenapa? 

Meninggalkan Makkah dan menuju Madinah, Nabi SAW membina asas yang kukuh kepada kewujudan khilafah Islam yang bertahan sehingga awal abad ke-20. Kebanyakan (bukan semua) pemerintah tertinggi atau khalifah menjadi penjaga keamanan umat dan manusia sejagat. Menyingkap persoalan ini dari sudut teori, Jean-Jacques Rousseau (juga pendukung realisme) dalam bukunya, ‘The State of War’, menegaskan bahawa ketiadaan satu autoriti peringkat global merupakan penyebab kepada kekecohan serta konflik yang akhirnya membuahkan kepada peperangan. Kita lihat semasa zaman keemasan khilafah, umat Islam, Kristian serta Yahudi dapat hidup dengan aman dan harmoni. Perkongsian ilmu dijalankan secara damai dan cantik sekali. R.W. Southern, dalam bukunya bertajuk ‘Western Views of Islam in the Middle Ages’, telah memetik kata-kata Paul Alvaro, seorang Kristian yang hidup di Andalus;

“The Christians love to read the poems and romances of the Arabs; they study the Arab theologians and philosophers, not to refute them but to form a correct and elegant Arabic. Where is the layman who now reads the Latin commentaries on the Holy Scriptures, or who studies the Gospels, prophets, or apostles? Alas! All talented young Christians read and study with enthusiasm the Arab books.” (Southern, 1962: p.21)

Semua cita-cita besar ini menuntut Nabi SAW untuk memiliki satu elemen penting, iaitu kuasa politik. Salah satu hikmah yang ingin ditunjukkan melalui peristiwa hijrah ialah pencarian kuasa politik oleh Nabi SAW untuk membebaskan manusia daripada kezaliman kepada keadilan, serta membawa manusia kepada Allah SWT semata-mata. Kuasa juga penting untuk menunjukkan di manakah keadilan Islam dalam sesebuah pemerintahan. Tanpa kuasa, slogan Islamik seperti ‘Islam is the solution’ hanya akan menjadi retorik semata-mata tanpa ada beban pembuktian (burden of proof).

Meneliti salah satu hadis Nabi SAW yang sangat terkenal;
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, cegahlah dengan lisan. Dan jika tidak mampu, cegahlah dengan hati. Itulah selemah-lemah iman” (HR Bukhari)

Jelas, Nabi SAW meletakkan pencegahan kemungkaran melalui kuasa sebagai yang paling utama. Jika tiada kuasa, barulah bergerak kepada nasihat dan tekad di hati. Hal ini sekali lagi menunjukkan betapa Nabi SAW sendiri mementingkan pemilikan kuasa politik dengan tujuan pelaksanaan Islam. Setelah Islam berkembang menjadi empayar yang luas, masyarakat mendapat manfaat daripada satu pentadbiran yang stabil (kebanyakan masa, bukan setiap masa) dek kerana penzahiran keadlian Islam itu sendiri. Konsep kebebasan bersuara misalnya, ditunjukkan oleh Umar al-Khattab semasa mula-mula beliau menjadi khalifah. Ketika seorang pemuda mengancam untuk menegur Umar dengan pedang sekiranya Umar terpesong daripada kebenaran, Umar menyambutnya dengan penuh kesyukuran bahawa adanya rakyat yang mahu melakukan check and balance ke atas pentadbirannya. Hal ini tidak pernah dirasai di mana-mana tempat sebelumnya!

Untuk mewujudkan keamanan secara sejagat, kita tidak dapat lari daripada keperluan memiliki kuasa pemerintahan. Itulah falsafah serta pemikiran di sebalik Hijrah Nabi SAW. Bermula dengan Negara Madinah, kemudian berkembang menjadi empayar yang besar di bawah pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin dan khilafah seterusnya. Selepas kejatuhan Turki Uthmaniah pada tahun 1924, Negara umat Islam dipaksakan dengan sistem Westphalia. Walhasilnya, keamanan sejagat hanya tinggal angan-angan serta tidak lagi dirasai umat.

Kesimpulannya, hijrah membawa satu cita-cita besar yang meletakkan Islam di mercu kegemilangan. Tentunya, dengan memiliki kuasa politik, keadilan Islam dapat diserlahkan dengan lebih holistik dan bersepadu. Nabi SAW berjaya memusing 360 darjah pemikiran manusia terhadap konsep ‘agama’, bahawa Islam merupakan ad-deen, atau sebuah manual kehidupan manusia yang lengkap.

Allahumma solli ‘ala Muhammad, wa ‘ala aalihi wasahbihi wasallim.


Hazman Baharom merupakan mahasiswa bidang Ekonomi dan Pengajian Sosial di Universiti Manchester, UK. Juga merupakan seorang anak muda yang sedang berjinak-jinak dengan jalur fikir sekular.



[1] Epistemologi bermaksud teori pengetahuan (theory of knowledge). Hal ini merangkumi persoalan bagaimana ilmu tentang sesuatu diperoleh, untuk siapa ilmu tersebut berkembang, serta elemen yang membentuk ilmu tersebut.

| | Selanjutnya »

Adam Smith, Ibn Khaldun, dan Bagaimana Islam Berfikir

Islam, merupakan satu set ideologi, doktrin, serta amalan yang bukan sekadar satu agama. Ia merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Seperti firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Quran, 2:208)

“Occupy #”

Dari Washington, sampai ke London, malah santak ke Madrid, kita dikejutkan dengan gelombang ‘Occupy London’, ‘Occupy Wall Street’, dan sebagainya. Matlamat mereka hanya satu, iaitu meluahkan ketidak puasan hati terhadap kapitalisme, penguasaan syarikat-syarikat besar terhadap kekayaan negara. Bila berlakunya krisis, kerajaan akan membantu syarikat-syarikat tersebut, bukannya rakyat.

Persoalannya, adakah kapitalisme yang bersalah dalam hal ini?

Mengikut pengalaman peribadi, ramai sahabat yang menyalahkan sistem kapitalis itu sendiri sebagai punca kepada segala masalah yang berlaku terutamanya yang melibatkan ekonomi dunia. Tetapi saya tidak menyalahkan mereka, kerana mereka juga dengar daripada orang lain, sekadar membaca artikel bukan akademik, dan sebagainya.

Di Barat (di bahagian lain di dunia juga, mungkin), silibus piawai dalam pengajian Ekonomi meletakkan Adam Smith sebagai pelopor kepada kemunculan pemikiran kapitalis. Nilai-nilai kapitalisme seperti pemilikan swasta, masyarakat bebas, serta kerajaan terhad (limited government) digarap dengan baik dalam magnum opus-nya, The Wealth of Nations (1776). Beliau juga dianggap perintis kepada teori pengkhususan pekerja (specialisation of labour), yang memungkinkan proses pengeluaran barang-barang menjadi lebih efisien.

Tetapi, dengan pengaruh Adam Smith seorang sahaja, Barat terutamanya British tidak akan mampu mencetuskan Revolusi Perindustrian yang bermula di kota Manchester. Sesebuah masyarakat memerlukan nilai-nilai yang dipegang bersama untuk menggerakkan satu perubahan dalam masyarakat itu sendiri. Perkara yang saya sifatkan sebagai menarik ialah, Revolusi Perindustrian menjadi begitu berjaya sehingga meletakkan Britain sebagai kuasa imperialis baru pada abad ke-18. Menjawab persoalan ini, saya tertarik dengan tesis ahli Sosiologi Jerman, Max Weber dalam buku beliau, The Protestant Ethic and The Spirit of Capitalism (1905). Beliau menyimpulkan bahawa, masyarakat Barat menjadi maju kerana nilai-nilai kapitalisme sendiri terkandung dalam doktrin agama Kristian mazhab Protestan. Untuk mendekati Tuhan, manusia hendaklah berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dalam kehidupannya. Secara tidak langsung, manusia yang mempunyai nilai-nilai seperti kuat berusaha, tidak mudah putus asa serta semangat yang tinggi akan mengumpul kekayaan akhirnya.

Berbalik kepada persoalan mengenai kapitalisme, nilai-nilai seperti yang saya katakan tadilah yang membawa Negara-negara kapitalis mencapai tahap kemajuan yang dapat dilihat sekarang di kebanyakan Negara Barat. Pemilikan harta secara swasta atau persendirian pula, mewujudkan keghairahan untuk bersaing, dan natijahnya, persaingan dalam perniagaan ini akan menghasilkan kemajuan secara kolektif.

Tetapi, mengapa sistem sebagus ini dipersalahkan dalam isu ‘Occupy Wall Street’?

Nilai

400 tahun sebelum Smith, Ibn Khaldun menulis al-Muqaddimah (1377). Sebuah tulisan yang menjelaskan peristiwa sejarah dari perspektif ekonomi, politik, dan sosial ini dianggap sebagai antara karya perintis dalam bidang Sosiologi dan Ekonomi.

Ibn Khaldun juga menampakkan dirinya sebagai seorang kapitalis dalam al-Muqaddimah.

Ya, konsep-konsep seperti pemilikan swasta, pengkhususan pekerja serta kerajaan terhad (ya, Ibn Khaldun sangat menentang campur tangan kerajaan dalam ekonomi sesebuah Negara) telah lama dihuraikan oleh Ibn Khaldun dalam karya beliau ini. Saya beri satu contoh;

“Each particular kind of craft needs persons to be in charge of it and skilled in it. The more numerous the various subdivisions of a craft are, the larger the number of the people who (have to) practice that craft. The particular group (practicing that craft) is colored by it. As the days follow one upon the other, and one professional coloring comes after the other, the crafts-coloring men become experienced in their various crafts and skilled in the knowledge of them. Long periods of time and the repetition of similar (experiences) add to establishing the crafts and to causing them to be firmly rooted” (Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, jilid 2, m/s 250)

Petikan di atas merupakan idea beliau dalam teori pengkhususan pekerja.

Kesimpulannya, tokoh ekonomi Islam juga mendukung idea kapitalisme. Kapitalisme tidak bersalah, tetapi kapitalisme tanpa nilai itulah yang menghasilkan binatang bertopengkan manusia.

Di Barat, mereka mengamalkan kapitalisme tanpa nilai. Matlamat akhir mereka bekerja hanyalah mencari wang untuk kehidupan dunia yang selesa. Itu sahaja. Kemudian apa pula? Kosong. Mereka menyembah wang. Di sinilah punca penindasan golongan kaya terhadap yang miskin.

Dalam Islam, kapitalisme punyai matlamat akhir yang lebih besar dan jelas, iaitu harta dunia sebagai pemudah jalan ke akhirat. Matlamat akhir ialah akhirat. Tidakkah Nabi SAW sendiri pernah bersabda,

“Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-Nya yang bekerja dengan bersungguh-sungguh” (HR Muslim)

Hadis di atas menunjukkan betapa Islam menganjurkan satu nilai, yang membawa kepada kapitalisme itu sendiri iaitu bekerja bersungguh-sungguh di dunia. Tetapi, Islam mempunyai matlamat yang lebih besar di sebalik idea ‘bekerja bersungguh-sungguh’ tersebut. Lihat saja para kapitalis dalam kalangan sahabat Nabi SAW sendiri, iaitu Abdul Rahman bin Auf yang membuka pasar sendiri di Madinah, serta Uthman ibn Affan juga, merupakan seorang ahli perniagaan berjaya. Mereka bersungguh-sungguh mengumpul harta kekayaan, tetapi harta itu bukanlah matlamat akhir mereka. Harta itulah juga yang membawa mereka lebih kuat bekerja untuk Allah SWT.

Begitulah Islam, meletakkan nilai terhadap sesuatu supaya matlamat akhir pekerjaan manusia hanyalah Allah. Samalah juga dalam hal menimba ilmu. Al-Quran menyebut, “…wahai Tuhan, tambahlah ilmuku!” (Quran, 20:114). Ayat ‘rabbi zidni ‘ilman’ ini memberi pengiktirafan kepada Allah sebagai sumber ilmu, sekali gus meletakkan janji untuk menggunakan ilmu tersebut hanya untuk Allah SWT. Islam bukannya mengajar umatnya mencari ilmu tetapi matlamat utama pemilikan ilmu tersebut hanya untuk mendapat keuntungan di dunia. Kita bukannya menyembah ilmu!

Kesimpulannya, saya mengambil sikap, kapitalisme itu sendiri merupakan satu ideologi yang merupakan pencetus kepada kemajuan umat manusia. Kapitalisme secara prinsip memang selari dengan Islam, tetapi kapitalisme ala Barat yang cacat nilailah menjadi penyebab kezaliman yang membarah.

“Occupy Wall Street”, mungkin menjadi manifestasi jelas terhadap kebobrokan kapitalisme tanpa nilai yang kosong jiwanya.

Hazman Baharom ialah mahasiswa bidang Ekonomi dan Pengajian Sosial di Universiti Manchester, UK. Juga merupakan seorang anak muda yang berfikir secara liberal, demokratik, dan sekular.

| | Selanjutnya »

Sikap Defensif: Memandulkan Ilmu?



"Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kumpulan yang didakwa menyebarkan fahaman Syiah di Negeri Perak. Ini bagi memastikan penyebaran fahaman tersebut tidak menular dalam kalangan rakyat Malaysia..."

Petikan di atas merupakan sebahagian daripada isi berita yang saya dengar di saluran radio Suria fm pagi tadi.

Di Malaysia yang tercinta, terlalu banyak kes seperti ini yang berlaku. Kumpulan disyaki terlibat dengan ajaran Syiah ditangkap, pihak gereja dipersalahkan atas isu murtad dan sebagainya. Semua ini dilakukan atas satu tujuan yang murni, (kononnya) menjaga kesucian akidah umat Islam di Malaysia.

Mari kita bertanya beberapa soalan dan berfikir sejenak. Jika Islam sebuah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam, kenapa perlu menghalang fahaman atau agama lain disebarkan? Kalaulah benar Islam itu agama keamanan dan kesejahteraan, mengapa terjadi isu tangkap menangkap, bukankah hal ini akan menakutkan orang-orang bukan Islam? Di manakah sikap terbuka agama Islam dan penganutnya? Jika Islam menjamin kebebasan serta keadilan kepada semua yang berada di bawah pemerintahannya, kenapa apabila timbulnya isu-isu seperti ini, pihak berkuasa yang beragama Islam mula bertindak 'ganas'?

"Dan kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam" (21:107)

Bagaimana meyakinkan mayarakat khususnya yang bukan berada dalam Islam, bahawa Islam benar-benar menganjurkan kasih sayang? Segala contoh peristiwa yang disebutkan tadi benar-benar menunjukkan Islam itu bersifat anti-toleransi, malah menjadi sebab kepada 'mual'nya orang luar terutamanya yang bukan Islam untuk mendekati Islam.

Baik, berbalik kepada topik perbincangan yang saya ingin bawa dalam makalah ini, iaitu kita terlalu bersikap defensif. Defensif yang tidak bertempat.


Hujah Dilawan Hujah

Rata-rata ramai dalam kalangan kita tahu, banyaknya ancaman terhadap agama Islam di dunia ini, khususnya negara kita. Namun, bagaimana kita mencari jalan penyelesaian terbaik? Ini persoalan yang harus kita jawab di sini, dan makalah ini ditulis atas dasar membuka ruang perbincangan ke arah penyelesaian yang konstruktif dalam isu ini.

Saya tertarik dengan dua kejadian untuk kita kaji bersama, iaitu kes penangkapan 'pengikut syiah' yang pernah hangat satu masa dahulu, serta kes 'gerakan meng-kristianisasi masyarakat' yang dikatakan berleluasa ekoran kes berbuka puasa di gereja tempoh hari. Kontroversi akhbar picisan Utusan Malaysia yang pernah mengeluarkan artikel muka depan bertajuk 'Kristian Agama Rasmi?' juga menarik untuk kita nilai bersama di sini.

Sejarah Islam sendiri pernah merekodkan tahap kebebasan bersuara dan berpendapat seperti yang tidak pernah dirasa sebelum zamannya. Hatta Barat sekalipun hanya merasa kebebasan seperti yang dianjurkan Islam berkurun-kurun selepas itu. Mari kita telusuri bersama sejarah Saidina Ali KWH, iaitu peristiwa yang berlaku selepas kontroversi Majlis Tahkim yang digembar-gemburkan puak Khawarij. Mereka membantah penerimaan keputusan majlis tersebut oleh Ali kerana ayat "hak menentukan hukum hanyalah milik Allah" (12:40). Sebagai respons, Ali menjawab dengan kata-katanya yang terkenal, "Kata-kata yang benar digunakan ke arah kepalsuan". Meskipun mereka menentangnya, Ali dengan tegas mengumumkan kepada mereka, "Kami menjamin kepada kamu tiga perkara, (1) tidak akan menghalang kamu untuk solat di masjid-masjid, (2) tidak menafikan hak kamu ke atas harta rampasan perang, dan (3) tidak akan memerangi kamu melainkan kamu melakukan kerosakan di muka bumi"

Jika Ali sendiri menjamin keselamatan puak Khawarij yang nyata akan kesilapan mereka dalam memahami dalil, mengapa kita pula terlalu tergopoh-gapah mahu menghukum mereka yang kita sifatkan sebagai 'salah'?

Dalam masyarakat kita, kita terlalu 'risau' jika benar-benar berlaku perkara seperti gerakan 'Kristianisasi' yang disebutkan tadi. Soalan saya, kenapa takut? Di manakah tanggungjawab kita? Bukankah Allah sudah mengajarkan, "ajaklah manusia ke jalan Rabb-mu dengan hikmah..." (16: 125), bukankah Allah juga menyuruh kita "berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran" (103: 3)?


Pemikiran masyarakat haruslah dibiarkan bebas dan wacana mestilah dibuka. Untuk mencapai semua ini, kita mestilah membuang sikap 'hang salah, mampoih pi kat hang', dan menanam semangat perbahasan sihat ke arah memahamkan masyarakat ke arah Islam. Inilah masalah besar yang kita hadapi sekarang, yang telah membawa Islam di Malaysia ke arah kekeliruan yang amat parah. Bukankah Allah sendiri menyambung dalam ayat yang disebutkan tadi, iaitu "berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik" (16:125)? Hanya dengan hujah intelektual yang disampaikan dengan penuh adab sahaja, pemahaman masyarakat boleh dibuka ke arah pemahaman Islam sebenar. Hujah mestilah dilawan hujah, jika hujah dilawan dengan kekerasan, 'fahaman salah' tadi akan mula bergerak secara rahsia, mereka tidak mati, malah lebih mengumpul kekuatan dan akan terluah dalam bentuk ekstremisme. Bukalah ruang-ruang dialog, dan berhujahlah dengan sihat.

Dalam isu ini, saya tertarik dengan pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya, Islamic Awakening between Rejection and Extremism mengenai isu ekstremisme. Beliau mengungkapkan bahawa Allah SWT menciptakan segala yang ada dalam alam ini dalam keseimbangan, berdasarkan ayat,

"... Dan kalaulah Allah tidak melindungi sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, nescaya rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dilimpahkanNya) ke atas seluruh alam" (2: 251)

Pemikiran yang dianggap 'salah', atau dalam konteks perbincangan kita tadi, fahaman syiah atau Kristianisasi, semuanya bermula dengan berbentuk ideologi, atau satu set idea yang disebarkan kepada umum. Kesilapan kita ialah kita bertindak dengan tidak seimbang, iaitu memaksakan kuasa secara kekerasan ke atas mereka. Bukankah lebih baik, jika benar kita berpegang kepada sesuatu yang sahih untuk mengadakan dialog dan berhujah dengan baik? Dengan cara ini, masyarakat bukan sahaja dapat memahami Islam dengan lebih mendalam dan mendasar, malah orang bukan Islam juga dapat melihat sifat toleransi ditunjukkan Islam. Sebaliknya, andai kita memilih jalan kekerasan, pastinya fahaman tersebut akan mengumpul penyokong dan 'sympathizer' seramai mungkin, malah akan membalas semula dengan kekerasan! Lebih parah, akibat tindakan kita memulakan kekerasan terhadap mereka, pintu-pintu ke arah kefahaman Islam yang sebelumnya berpotensi untuk diketuk di hati-hati mereka terus tertutup rapat akibat prejudis yang timbul. Walhasilnya, penyebaran kefahaman Islam terus menjadi 'mandul', semuanya berpunca daripada tindakan kita sendiri.

Inilah salah satu punca ekstremisme, iaitu ke'jumud'an dan kebiadapan kita untuk memulakan serta memaknakan perbahasan sihat itu sendiri.

Kesimpulannya, sebagai umat yang sayangkan Islam dan tidak mahu kesuciannya dinodai, kefahaman terhadap Islam sangat penting untuk ditanam ke dalam minda masyarakat. Tidak gunalah jika kita bersemangat mahu mempertahankan Islam, namun cara yang kita gunakan menambah kekeliruan masyarakat tentang Islam. Bukankah itu sudah membawa fitnah kepada Islam?

| | Selanjutnya »

Menang tulis sejarah, kalah buat puisi

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Kata-kata sinis itu menggambarkan betapa sukarnya mencari penulisan sejarah oleh manusia yang jujur, kerana majoriti penulis sejarah menulis dari perspektif di pihak mana mereka berada dan ada yang menulis di bawah kawalan ketakutan dan telunjuk golongan berkuasa.
NONE
Umum dan rata-rata sebenarnya menyedari bahawa penulisan sejarah akan menyebelahi golongan yang akhirnya mendapat kuasa atau golongan yang menang.

Manakala bagi golongan yang kalah pula, sejarah yang ditulis, terutamanya apabila bercanggah fakta dengan sejarah golongan yang menang, mereka tidak berani untuk berterus-terang untuk menyerang penulisan sejarah golongan yang berkuasa pada ketika peristiwa tersebut berlaku kerana kebesaran risiko dan tekanan yang mereka terpaksa hadapi.

Bahkan, ada mereka yang berani, namun lazimnya sejarah yang ditinggalkan mereka akan dihapuskan oleh golongan yang menang supaya generasi seterusnya hanya terus mengagungkan dan mengenangkan jasa golongan yang menang demi kepentingan masing-masing.

may 13 books 121007Akibatnya golongan yang tertewas ini lebih selesa menulis puisi, cerpen dan novel bagi meluahkan bantahan dan penentangan mereka terhadap satu-satu isu atau tohmahan yang dilemparkan kepada mereka. Maka lahirlah kata-kata sinis "yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi".
Sejarah, sifatnya ialah peninggalan untuk dinilai, difahami, dipelajari dan diambil iktibar terhadap sesuatu yang pernah berlaku, jarang sekali ia adalah untuk mencari kesalahan mana-mana pihak ketika peristiwa sejarah tersebut berlaku.

Tidak boleh dibahas

NONE
Namun, segalanya menjadi terbantut apabila fakta sejarah yang ditinggalkan tidak boleh dibahaskan, tidak boleh dicabar dan tidak boleh dibincangkan secara akademik, terutamanya apabila muncul dua-tiga versi fakta sejarah yang bercanggah mengenai sesuatu peristiwa.
Akibat penulisan sejarah yang tidak tepat itulah, timbulnya usaha untuk menilai semula, membahas, perbincangan ilmiah dan diskusi mengenai satu-satu fakta sejarah dari pelbagai sudut.

Namun, harus diingat, perkara yang paling malang dalam proses penulisan sejarah berkisar kepada mereka yang telah tiada untuk membela diri mereka terhadap penulisan yang tidak tepat terhadap mereka dalam penulisan sejarah, yang lumrahnya ditulis oleh golongan yang menang.

Kemunculan waris-waris untuk membela bagi pihak bapa, ibu atau waris mereka juga menambahkan warna-warni kepada perdebatan bahan sejarah – namun, apakah ia tepat? Sudah tentu, ia masih boleh dipertikai lagi.

anwar release 020904 husband and wifeSecara tidak sedar, rakyat dan negara kini sedang mencipta dan mencatitkan sejarah tersendiri.
Apakah sejarah yang sedang kita lakar kini, sebagai contoh apa yang berlaku 20 tahun yang lalu untuk generasi masa depan, akan atau telah dibuat secara jujur?

Jawapannya masih sama, ia tidak jujur kerana adanya kepentingan golongan pemerintah dalam menjaga minda generasi seterusnya pada waktu ini, dengan anggapan bahawa mereka akan kekal berkuasa.

Sebagai contoh, sejarah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya dibahas pada masa hadapan, apakah versi yang bakal dicatat dalam sejarah?

Kita tidak perlu melihat jauh, untuk seseorang yang pernah menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri suatu waktu dahulu, sekarang sudahpun ditulis dan digerombol oleh pihak pemerintah dalam wajah baru sebagai pengkhianat, penentang kerajaan dan selainnya sekiranya akhbar-akhbar pro-kerajaan pemerintah kini dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan.

Dilenyapkan dari sejarah

Mana catatan terhadap jasa beliau dalam membangunkan negara, malah memajukan Umno suatu masa dahulu? Adakah ia akan dicatat dalam sejarah kerajaan BN, atau akan dipadamkan begitu sahaja? Adakah dalam carta sejarah kepimpinan Umno, gambar timbalan Tun Dr Mahathir Mohamad ini pada 1990-an akan dihilangkan begitu sahaja dalam sejarah?
pas muktamar 2004 290804 hadi with nik aziz
Sejarah apa pula mengenai beliau yang akan dituliskan dalam buku sejarah yang bakal diajar kepada pelajar pada masa depan?

Demikian juga dengan sejarah presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai menteri besar Terengganu yang cuba dibuang dari sejarah, sehinggakan gambar beliau sebagai menteri besar cuba dihilangkan.

Inilah realiti dalam permainan penulisan sejarah manusia oleh golongan yang menang, yang menjadi punca utama pahlawan-pahlawan negara yang bangun berjuang bermati-matian seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Datok Bahaman di Pahang, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Datuk Maharajalela dan Si Puntong di Perak, Dol Said di Negeri Sembilan/Melaka dan puluhan pimpinan yang lain yang kini lenyap dari sejarah.

communist insurgents in malaya 240609Yang muncul, dicatat, dihargai malah tidak boleh dipertikaikan hari ini hanyalah pejuang yang diterima oleh Inggeris dalam sejarah penjajahan mereka terhadap Tanah Melayu.
Sesiapa yang ingin mengungkit semula jasa golongan yang tertewas, walaupun jasa mereka berharga akan terus dicop sebagai pengkhianat atau penyokong golongan tertentu dan cuba mengubah sejarah negara oleh pihak pemerintah.

Benarlah juga, mereka yang diterima sebagai pejuang oleh penjajah Inggeris ada jasa dalam usaha memerdekakan negara; namun namun pada masa yang sama benarlah juga ungkapan di atas "Yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi".

Janganlah kita lupa pula dengan pejuang rakyat yang tidak diiktiraf, malah digelar sebagai pengganas oleh pihak penjajah atau golongan pemenang, mereka juga ada jasanya yang patut dimartabatkan dalam sejarah negara.

Biarlah para pembaca sejarah menilai kedudukan tokoh-tokoh negara pra-kemerdekaan yang tercatit dalam sejarah ini secara peribadi dengan fakta sejarah yang cukup – walaupun kesudahan tafsiran mereka mungkin bercanggah dengan versi sejarah yang dihasratkan, pihak pemerintah dinasihatkan jangan pula cepat mencela mereka ini.

Kerana ini adalah fenomena yang bagus untuk negara yang menunjukkan rakyat semakin matang dalam mengkaji maklumat yang diterima mereka sebelum menerimanya bulat-bulat tanpa soal selidik seperti dulu.

| | Selanjutnya »