Prestasi baik PR Kedah diyakini terus tarik sokongan
ALOR SETAR: Pencapaian cemerlang Pakatan Rakyat Kedah mengemudi kerajaan negeri menjadi suntikan utama untuk terus menarik sokongan pengundi menyokong PAS dan Pakatan Rakyat, demikian ditegaskan Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Malah, dalam menghadapi arus serangan pembangkang, Penerangan PAS Kedah katanya, mewujudkan bank maklumat atau isu.
“Ia lengkap untuk didedahkan satu persatu apabila tiba masanya, ataupun bila ada keperluan untuk berbuat demikian. Bukan hasrat kita untuk mendedahkan keburukan atau kekurangan pihak lain, tetapi perbandingan dulu dengan sekarang tidak dapat dielakkan lagi untuk memandu rakyat membuat penilaian,” jelas beliau dalam temubual bersama Harakah.
Ujarnya, PAS tidak kekok mengakui sebarang kelemahan dan sedang berusaha sedaya upaya mengatasinya.
Mengambil hasil balak sebagai contoh beliau berkata, kepimpinan kerajaan sekarang berjaya meningkatkan hasil berbanding pentadbiran dahulu. Katanya, pentadbiran dahulu tidak mengusahakannya walaupun ada jalan dan peluang.
“Jadi, perkara ini kena dimaklumkan kepada rakyat. Rakyat berhak tahu mengapa hasil negeri yang sepatutnya bertambah melalui amalan telus dan amanah kepimpinan tidak berlaku waktu itu, dan ke mana ia pergi?
“Dalam hal ketirisan kewangan di sebuah GLC waktu dulu, hingga kita terpaksa menanggungnya sekarang ini, rakyat perlu dimaklumkan ke mana wang itu di bawa pergi, siapa yang menerima manfaatnya, dan mengapa ia berlaku? Hal itu tidak sepatutnya terjadi dalam urus tadbir yang didakwa amanah dan adil,” jelas Sanusi.
Menurut beliau, melalui pendedahan ketidakadilan, ketirisan, salah urus, ketidacekapan, sikap tidak amanah dan sebagainya oleh kepimpinan sebelum ini, bermakna Penerangan PAS Kedah telah membantu rakyat membuat perubahan untuk memperbaiki senario itu.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah berkata, pihaknya turut berusaha mengenengahkan program-program baru kerajaan dalam membantu meningkat kebajikan dan taraf hidup rakyat seperti Skim Kafalah, bantuan melanjutkan pengajian ke IPTA dan meningkat kadar minimum bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ujarnya, Kerajaan Pakatan Rakyat dapat melakukan semua itu walaupun dalam keadaan kewangan yang sangat terbatas. Sedangkan, hal itu tidak dapat dibuat pada waktu dulu walaupun BN mendakwa mereka kerajaan terbaik yang pernah ada untuk rakyat.
Jentera kerajaan pula katanya, dapat melaksanakan tanggung jawab mereka secara lebih efisyen apabila kepimpinan politik memberi ruang bekerja atas profesionalisme dan kepakaran tanpa tekanan atas kepentingan politik.
“Misalnya dalam isu pentadbiran tanah di Kedah. Atas kehendak dan dorongan kepimpinan kerajaan, kita telah berjaya mengurangkan cukai tanah antara 25 hingga 75 peratus, melulus dan mendaftarkan 143,545 permohonan tanah seluruh negeri sejak 2008 (pemberian hakmilik), meluluskan 7,905 permohonan tanah sejak 2008 (Notis 5A).
“Kerajaan juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa 5 tahun terakhir! Berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM 26.63 juta, pada 2010, kita mengutip sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3 peratus! Peningkatan ketara iaitu 125.2 peratus atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah.
“Hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta. Kutipan ini adalah tertinggi dalam masa 5 tahun! Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan ‘surplus’ atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta! Peningkatan ini sangat ketara dan sangat membanggakan,” ujarnya yakin.
Semua itu katanya, hanyalah sebahagian pencapaian yang akan dibentangkan untuk dinilai oleh rakyat menjelang PRU13.
Jelas beliau lagi, Pakatan Rakyat Kedah juga telah menunjukkan keupayaan melaksanakan kandungan Manifesto PRU-12 dengan telus dan jelas.
Terangnya, perincian setiap perkara yang telah dibuat, sedang diusahakan untuk dicapai, dan hal-hal yang tidak dapat dilaksanakan pada waktu ini, dipersembahkan semuanya untuk dinilai rakyat.
“Saya berpendapat, rakyat yang meneliti perkara ini secara jujur akan mengakui bahawa kita telah membuktikan keupayaan kita dalam waktu yang amat singkat. Saya percaya rakyat akan terus beri keyakinan kepada kita untuk memimpin kerajaan pada masa depan.
Menyentuh isu-isu lain yang cuba ditonjolkan oleh pembangkang, katanya, banyak isu remeh temeh telah diberikan jawapan jelas oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan.
Malah katanya, Ustaz Azizan menempelak mereka dengan jolokan ‘politik kampung’ sesuai dengan pendekatan dan isu yang dibangkitkan.
“Saya fikir, itulah jolokan paling sesuai pernah diberikan kepada mereka. Mereka tiada modal yang mencukupi untuk menggoncang kita pada waktu ini. Pun begitu, kita sentiasa bersedia dan memantau perkembangan yang berlaku. Rakyat sudah bijak untuk membuat pertimbangan,” katanya.
Selain itu, faktor lain sokongan pengundi juga akuinya turut disumbangkan dari prinsip utama seperti ketelusan, keadilan, amanah, kesungguhan, kecekapan dan keazaman yang kuat untuk merubah wajah Kedah dalam semua sektor hingga membawa hasil sangat memberangsangkan.