Sikap Defensif: Memandulkan Ilmu?

| |



"Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kumpulan yang didakwa menyebarkan fahaman Syiah di Negeri Perak. Ini bagi memastikan penyebaran fahaman tersebut tidak menular dalam kalangan rakyat Malaysia..."

Petikan di atas merupakan sebahagian daripada isi berita yang saya dengar di saluran radio Suria fm pagi tadi.

Di Malaysia yang tercinta, terlalu banyak kes seperti ini yang berlaku. Kumpulan disyaki terlibat dengan ajaran Syiah ditangkap, pihak gereja dipersalahkan atas isu murtad dan sebagainya. Semua ini dilakukan atas satu tujuan yang murni, (kononnya) menjaga kesucian akidah umat Islam di Malaysia.

Mari kita bertanya beberapa soalan dan berfikir sejenak. Jika Islam sebuah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam, kenapa perlu menghalang fahaman atau agama lain disebarkan? Kalaulah benar Islam itu agama keamanan dan kesejahteraan, mengapa terjadi isu tangkap menangkap, bukankah hal ini akan menakutkan orang-orang bukan Islam? Di manakah sikap terbuka agama Islam dan penganutnya? Jika Islam menjamin kebebasan serta keadilan kepada semua yang berada di bawah pemerintahannya, kenapa apabila timbulnya isu-isu seperti ini, pihak berkuasa yang beragama Islam mula bertindak 'ganas'?

"Dan kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam" (21:107)

Bagaimana meyakinkan mayarakat khususnya yang bukan berada dalam Islam, bahawa Islam benar-benar menganjurkan kasih sayang? Segala contoh peristiwa yang disebutkan tadi benar-benar menunjukkan Islam itu bersifat anti-toleransi, malah menjadi sebab kepada 'mual'nya orang luar terutamanya yang bukan Islam untuk mendekati Islam.

Baik, berbalik kepada topik perbincangan yang saya ingin bawa dalam makalah ini, iaitu kita terlalu bersikap defensif. Defensif yang tidak bertempat.


Hujah Dilawan Hujah

Rata-rata ramai dalam kalangan kita tahu, banyaknya ancaman terhadap agama Islam di dunia ini, khususnya negara kita. Namun, bagaimana kita mencari jalan penyelesaian terbaik? Ini persoalan yang harus kita jawab di sini, dan makalah ini ditulis atas dasar membuka ruang perbincangan ke arah penyelesaian yang konstruktif dalam isu ini.

Saya tertarik dengan dua kejadian untuk kita kaji bersama, iaitu kes penangkapan 'pengikut syiah' yang pernah hangat satu masa dahulu, serta kes 'gerakan meng-kristianisasi masyarakat' yang dikatakan berleluasa ekoran kes berbuka puasa di gereja tempoh hari. Kontroversi akhbar picisan Utusan Malaysia yang pernah mengeluarkan artikel muka depan bertajuk 'Kristian Agama Rasmi?' juga menarik untuk kita nilai bersama di sini.

Sejarah Islam sendiri pernah merekodkan tahap kebebasan bersuara dan berpendapat seperti yang tidak pernah dirasa sebelum zamannya. Hatta Barat sekalipun hanya merasa kebebasan seperti yang dianjurkan Islam berkurun-kurun selepas itu. Mari kita telusuri bersama sejarah Saidina Ali KWH, iaitu peristiwa yang berlaku selepas kontroversi Majlis Tahkim yang digembar-gemburkan puak Khawarij. Mereka membantah penerimaan keputusan majlis tersebut oleh Ali kerana ayat "hak menentukan hukum hanyalah milik Allah" (12:40). Sebagai respons, Ali menjawab dengan kata-katanya yang terkenal, "Kata-kata yang benar digunakan ke arah kepalsuan". Meskipun mereka menentangnya, Ali dengan tegas mengumumkan kepada mereka, "Kami menjamin kepada kamu tiga perkara, (1) tidak akan menghalang kamu untuk solat di masjid-masjid, (2) tidak menafikan hak kamu ke atas harta rampasan perang, dan (3) tidak akan memerangi kamu melainkan kamu melakukan kerosakan di muka bumi"

Jika Ali sendiri menjamin keselamatan puak Khawarij yang nyata akan kesilapan mereka dalam memahami dalil, mengapa kita pula terlalu tergopoh-gapah mahu menghukum mereka yang kita sifatkan sebagai 'salah'?

Dalam masyarakat kita, kita terlalu 'risau' jika benar-benar berlaku perkara seperti gerakan 'Kristianisasi' yang disebutkan tadi. Soalan saya, kenapa takut? Di manakah tanggungjawab kita? Bukankah Allah sudah mengajarkan, "ajaklah manusia ke jalan Rabb-mu dengan hikmah..." (16: 125), bukankah Allah juga menyuruh kita "berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran" (103: 3)?


Pemikiran masyarakat haruslah dibiarkan bebas dan wacana mestilah dibuka. Untuk mencapai semua ini, kita mestilah membuang sikap 'hang salah, mampoih pi kat hang', dan menanam semangat perbahasan sihat ke arah memahamkan masyarakat ke arah Islam. Inilah masalah besar yang kita hadapi sekarang, yang telah membawa Islam di Malaysia ke arah kekeliruan yang amat parah. Bukankah Allah sendiri menyambung dalam ayat yang disebutkan tadi, iaitu "berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik" (16:125)? Hanya dengan hujah intelektual yang disampaikan dengan penuh adab sahaja, pemahaman masyarakat boleh dibuka ke arah pemahaman Islam sebenar. Hujah mestilah dilawan hujah, jika hujah dilawan dengan kekerasan, 'fahaman salah' tadi akan mula bergerak secara rahsia, mereka tidak mati, malah lebih mengumpul kekuatan dan akan terluah dalam bentuk ekstremisme. Bukalah ruang-ruang dialog, dan berhujahlah dengan sihat.

Dalam isu ini, saya tertarik dengan pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya, Islamic Awakening between Rejection and Extremism mengenai isu ekstremisme. Beliau mengungkapkan bahawa Allah SWT menciptakan segala yang ada dalam alam ini dalam keseimbangan, berdasarkan ayat,

"... Dan kalaulah Allah tidak melindungi sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, nescaya rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dilimpahkanNya) ke atas seluruh alam" (2: 251)

Pemikiran yang dianggap 'salah', atau dalam konteks perbincangan kita tadi, fahaman syiah atau Kristianisasi, semuanya bermula dengan berbentuk ideologi, atau satu set idea yang disebarkan kepada umum. Kesilapan kita ialah kita bertindak dengan tidak seimbang, iaitu memaksakan kuasa secara kekerasan ke atas mereka. Bukankah lebih baik, jika benar kita berpegang kepada sesuatu yang sahih untuk mengadakan dialog dan berhujah dengan baik? Dengan cara ini, masyarakat bukan sahaja dapat memahami Islam dengan lebih mendalam dan mendasar, malah orang bukan Islam juga dapat melihat sifat toleransi ditunjukkan Islam. Sebaliknya, andai kita memilih jalan kekerasan, pastinya fahaman tersebut akan mengumpul penyokong dan 'sympathizer' seramai mungkin, malah akan membalas semula dengan kekerasan! Lebih parah, akibat tindakan kita memulakan kekerasan terhadap mereka, pintu-pintu ke arah kefahaman Islam yang sebelumnya berpotensi untuk diketuk di hati-hati mereka terus tertutup rapat akibat prejudis yang timbul. Walhasilnya, penyebaran kefahaman Islam terus menjadi 'mandul', semuanya berpunca daripada tindakan kita sendiri.

Inilah salah satu punca ekstremisme, iaitu ke'jumud'an dan kebiadapan kita untuk memulakan serta memaknakan perbahasan sihat itu sendiri.

Kesimpulannya, sebagai umat yang sayangkan Islam dan tidak mahu kesuciannya dinodai, kefahaman terhadap Islam sangat penting untuk ditanam ke dalam minda masyarakat. Tidak gunalah jika kita bersemangat mahu mempertahankan Islam, namun cara yang kita gunakan menambah kekeliruan masyarakat tentang Islam. Bukankah itu sudah membawa fitnah kepada Islam?

Bersama sebarkan dan sila tinggalkan kritikan anda | Design by : SeutasTasbih Blog
Posted by Hazman Baharom on 00:12. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Sikap Defensif: Memandulkan Ilmu?"

Leave a reply