Antara prinsip dan strategi politik
Berada di
lapangan politik sememangnya memerlukan kepada ketajaman fikiran dan kekuatan
mental dalam menghadapi cabaran arus semasa. Suatu ketika dahulu, musuh-musuh
Islam menggunakan kekuatan fizikal dalam berdepan dengan kaum muslimin.
Ternyata pendekatan ini tidak memberikan hasil pulangan yang baik kepada mereka
(musuh-musuh Islam) kerana kualiti yang ada pada umat Islam ketika itu. Tindakan
musuh itu boleh diibaratkan menekan bola ke dalam air,semakin kuat ditekan
semakin kuat melawan ke atas.
Hari ini,
mereka menggunakan peluru yang lain dalam menguasai umat Islam. Atas nama
kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, sedikit demi sedikit jarum doktrinisasi
itu masuk dan meresap dikalangan anggota harakah. Mereka tidak menggugurkan
perkataan Islam tetapi cukup menceraikan sedikit demi sedikit prinsip-prinsip
Islam dalam gerak kerja harakiyyah.
Tidak dapat
dinafikan, apabila terlibat secara langsung dalam bidang politik, memerlukan
kepada perancangan-perancangan yang strategik dalam memastikan matlamat akhir
perjuangan tercapai. Namun, hari ini kegagalan sekelompok manusia dalam
membezakan antara prinsip dan strategi politik menyebabkan perjalanan
politik mereka nampak goyah dan goyang apabila berhadapan dengan musuh.
Prinsip adalah
tunjang yang pasti dan mesti menunjangi perjuangan kita. Kita ibaratkan ia
sebagai akar yang teguh bagi sebuah pokok. Biarpun di sana ada badai, taufan,
hujan, panas dan salji sekalipun, akar ini tetap dengan kekuatannya menunjangi
pokok itu. Begitulah prinsip perjuangan, biarpun mereka membenci kita, biarpun
kita ditinggalkan keseorangan, kita mesti teguh dengan prinsip Islam yang kita
bawa dan tiada tawar menawar dalam soal ini.
Golongan Islam yang sebenar hendaklah
mempunyai dasar yang jelas dan tegas, iaitu mentauhidkan Allah dan
menyeru manusia ke arah beriman kepadanya. Membersihkan negeri dari sebarang bentuk
syirik agar kalimah Allah itu benar-benar Maha Tinggi sehingga terasa kewajipan
untuk menegakkannya dalam segala bidang termasuk politik, ekonomi dan
lain-lainnya hendaklah berdasarkan Islam. (kitab Islam : Fikrah, Harakah dan
Daulah, Tuan Guru Haji Abdul Hadi).
Sebab itu,
dalam memahami prinsip perjuangan kita, kita mesti memahami hala tuju
perjuangan kita. Keberadaan sebuah gerakan Islam di medan siasah bukan
semata-mata berkehendakkan kepada kerajaan dan kuasa tetapi apa yang lebih penting
ialah menyeru dan mengajak manusia lain kembali kepada Islam. Inilah yang
membezakan kita dengan parti politik lain yang ada di Malaysia. Kita bisa
menang dan kita bisa kalah dalam pilihanraya. Itulah lumrah perjuangan. Tetapi gerak
kerja mengajak dan menyeru manusia kepada Allah tidak pernah putus.
Parti AK
Parti di Turki sehingga hari ini masih gagal menegakkan negara Islam di Turki. Mereka
dikatakan telah menandatangani perjanjian dengan pihak tentera Turki untuk
tidak melaksanakan syariat Islam apabila menang. Apa perlunya kita
bertungkus lumus untuk menang dalam pilihanraya jika kemenangan kita tiada
manfaat pun untuk Islam?
Di samping
itu, kita juga perlu terbuka dalam persoalan strategi atau pendekatan politik.
Politik tidak boleh dilihat dengan bacaan tersuratnya sahaja tetapi dalam masa
yang masa perlu dilihat yang tersiratnya. Sebab itu, kadang-kadang kita perlu
bijak dalam membaca sepak terajang politik di setiap peringkat, sama di
peringkat kampus dan di peringkat nasional.
Namun,
keterbukaan ini perlu diperhalusi dan dipertimbangkan dari semua sudut.
Antaranya ialah kita mesti memastikan tidak ada percanggahan dalam strategi
politik dengan Al-Quran dan As-Sunnah, bercanggah dengan syariat Islam, betul
dengan fiqh siyasi, maqasid syariah, qawa’id fiqhiyyah dan lain-lain. Sifat tergopoh-gapah
dan tergesa-gesa menjadikan pertimbangan siasah tidak tepat dan bercanggah
dengan manhaj Islam yang sebenar. Strategi politik yang bijak adalah
strategi yang menepati matlamat perjuangan di samping memberi manfaat yang
besar kepada Islam dan gerakan itu sendiri.
Syed Qutb
pernah menyebut ;
“Sesungguhnya manusia yang paling
bersemangat, berkobar-kobar dan kurang pertimbangan adakalanya merekalah orang
paling pengecut, tewas dan tumpas apabila berhadapan dengan suatu yang serius
dan realiti. Bahkan kadang-kadang ia menjadi sesuatu ketetapan (kaedah) kerana
melonjak kehadapan, kurang pertimbangan dan terlalu bersemangat biasanya
berpunca dari tidak tahu mengukur dan menilai sesuatu tanggungjawab harakah,
bukan lantaran sifat berani, cekal dan keazaman yang tinggi.
Sepertimana juga ia adalah dorongan rasa
kurang cekal dan tidak begitu berupaya untuk memikul kesempitan, kesakitan dan
ketewasan. Ia menyebabkan mereka bergerak untuk melibatkan diri di dalam
harakah, pertahanan dan kemenangan dengan apa cara sekali pun tanpa
menghiraukan bebanan tugas haraki, daya ketahanan dan bentuk kemenangan.
Apabila mereka berhadapan dengan cabaran ini, mereka mendapatinya ia sangat
berat berbanding kemampuan mereka, lebih sukar berbanding apa yang mereka
gambarkan dan mereka menjadi barisan yang pertama tewas dan tumpas.
Manakala mereka yang dapat mengawal diri,
memikul kesempitan dan kesakitan untuk beberapa ketika, membuat persiapan,
kenal akan hakikat bebanan harakah dan tahu menilai kemampuan diri; mereka
sabar, tidak gelojoh dan bersiap sedia. Mereka yang terlalu bersemangat dan
beremosi pula, menganggap itu semua suatu kelemahan dan mereka tidak ambil
peduli terhadap sikap bersiap sedia dan pertimbangan terhadap segenap perkara.
Pada peperangan sebenar baru jelas terbukti kumpulan manakah yang paling cekal
dan yang paling berpandangan jauh.”
MUHAMMAD HAFIZ BIN MANSOR
TIMB PRESIDEN PERSADA