‘Vergegenwärtigung’ Hijrah: Realisme dan Realiti
Pertama sekali, saya mengucapkan selamat Tahun Baru Hijriah
1433 kepada semua muslimin dan muslimat.
Tajuk makalah pada kali ini mengambil sempena buku tulisan Ismail al-Faruqi, ‘Hijrah: The Necessity of Its Iqamat or Vergegenwärtigung”. Secara permukaan, perkataan Jerman tersebut bermaksud ‘bayangan’ atau ‘persepsi’.
Realisme pula merupakan satu daripada beberapa faham yang
mewarnai teori politik. Diterajui oleh ahli falsafah Greek, Thucydides dengan
karya beliau, ‘The History of Peloponnesian
War’, dan kemudiannya terus dimurnikan oleh pemikir lain selepasnya seperti
Thomas Hobbes, Niccoló Machiavelli, dan E.H. Carr. Ringkasnya, realisme
berkisar mengenai kecenderungan setiap Negara untuk berperang dan bermusuhan
sesama sendiri. Hal ini disebabkan fitrah manusia yang suka bermusuhan, dan
juga sistem anarki (ketiadaan autoriti peringkat global) dalam politik
antarabangsa.
Sempena peristiwa bersejarah ini, mari kita sama-sama
memahami persoalan pokok, kenapa Nabi SAW berhijrah?
Untuk menjawab soalan ini, saya ingin menerangkan dahulu
cara pemikir lampau seperti Ibn Rushd dan Ibn Khaldun merungkai persoalan
sejarah. Kedua-dua pemikir tersebut mempunyai epistemologi[1]
mereka sendiri, iaitu mereka keluar daripada penjelasan biasa tentang peristiwa
sejarah yang mengatakan bahawa semua yang berlaku merupakan takdir atau
ketetapan Allah. Sebaliknya, mereka menganalisis sebab dan akibat kepada
berlakunya sesuatu peristiwa. Sebab itulah, gereja sebelum zaman Pencerahan menuduh
Ibn Rushd sebagai sekular kerana berfikir menggunakan jalur fikir yang berbeza
dengan masyarakat pada zaman itu. Namun, jalur fikir inilah juga yang membawa
Eropah keluar daripada zaman Gelap, kepada zaman Pencerahan dan Renaissance.
Sebagai seorang manusia, Nabi SAW tidak terlepas daripada
perasaan sedih untuk meninggalkan Makkah ketika hendak berhijrah. Namun, Allah
SWT Maha Mengetahui segala hikmah yang tersembunyi di sebalik perancangan-Nya.
Kenapa?
Meninggalkan Makkah dan menuju Madinah, Nabi SAW membina
asas yang kukuh kepada kewujudan khilafah Islam yang bertahan sehingga awal
abad ke-20. Kebanyakan (bukan semua) pemerintah tertinggi atau khalifah menjadi
penjaga keamanan umat dan manusia sejagat. Menyingkap persoalan ini dari sudut
teori, Jean-Jacques Rousseau (juga pendukung realisme) dalam bukunya, ‘The State
of War’, menegaskan bahawa ketiadaan satu autoriti peringkat global
merupakan penyebab kepada kekecohan serta konflik yang akhirnya membuahkan
kepada peperangan. Kita lihat semasa zaman keemasan khilafah, umat Islam,
Kristian serta Yahudi dapat hidup dengan aman dan harmoni. Perkongsian ilmu
dijalankan secara damai dan cantik sekali. R.W. Southern, dalam bukunya
bertajuk ‘Western Views of Islam in the
Middle Ages’, telah memetik kata-kata Paul Alvaro, seorang Kristian yang
hidup di Andalus;
“The Christians love
to read the poems and romances of the Arabs; they study the Arab theologians
and philosophers, not to refute them but to form a correct and elegant Arabic.
Where is the layman who now reads the Latin commentaries on the Holy
Scriptures, or who studies the Gospels, prophets, or apostles? Alas! All
talented young Christians read and study with enthusiasm the Arab books.”
(Southern, 1962: p.21)
Semua cita-cita besar ini menuntut Nabi SAW untuk memiliki
satu elemen penting, iaitu kuasa politik. Salah satu hikmah yang ingin
ditunjukkan melalui peristiwa hijrah ialah pencarian kuasa politik oleh Nabi
SAW untuk membebaskan manusia daripada kezaliman kepada keadilan, serta membawa
manusia kepada Allah SWT semata-mata. Kuasa juga penting untuk menunjukkan di
manakah keadilan Islam dalam sesebuah pemerintahan. Tanpa kuasa, slogan Islamik
seperti ‘Islam is the solution’ hanya
akan menjadi retorik semata-mata tanpa ada beban pembuktian (burden of proof).
Meneliti salah satu hadis Nabi SAW yang sangat terkenal;
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka
cegahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, cegahlah dengan lisan. Dan jika
tidak mampu, cegahlah dengan hati. Itulah selemah-lemah iman” (HR Bukhari)
Jelas, Nabi SAW meletakkan pencegahan kemungkaran melalui
kuasa sebagai yang paling utama. Jika tiada kuasa, barulah bergerak kepada
nasihat dan tekad di hati. Hal ini sekali lagi menunjukkan betapa Nabi SAW
sendiri mementingkan pemilikan kuasa politik dengan tujuan pelaksanaan Islam.
Setelah Islam berkembang menjadi empayar yang luas, masyarakat mendapat manfaat
daripada satu pentadbiran yang stabil (kebanyakan masa, bukan setiap masa) dek
kerana penzahiran keadlian Islam itu sendiri. Konsep kebebasan bersuara
misalnya, ditunjukkan oleh Umar al-Khattab semasa mula-mula beliau menjadi
khalifah. Ketika seorang pemuda mengancam untuk menegur Umar dengan pedang
sekiranya Umar terpesong daripada kebenaran, Umar menyambutnya dengan penuh kesyukuran
bahawa adanya rakyat yang mahu melakukan check
and balance ke atas pentadbirannya. Hal ini tidak pernah dirasai di
mana-mana tempat sebelumnya!
Untuk mewujudkan keamanan secara sejagat, kita tidak dapat
lari daripada keperluan memiliki kuasa pemerintahan. Itulah falsafah serta
pemikiran di sebalik Hijrah Nabi SAW. Bermula dengan Negara Madinah, kemudian
berkembang menjadi empayar yang besar di bawah pemerintahan Khulafa’
ar-Rasyidin dan khilafah seterusnya. Selepas kejatuhan Turki Uthmaniah pada tahun
1924, Negara umat Islam dipaksakan dengan sistem Westphalia. Walhasilnya,
keamanan sejagat hanya tinggal angan-angan serta tidak lagi dirasai umat.
Kesimpulannya, hijrah membawa satu cita-cita besar yang
meletakkan Islam di mercu kegemilangan. Tentunya, dengan memiliki kuasa
politik, keadilan Islam dapat diserlahkan dengan lebih holistik dan bersepadu.
Nabi SAW berjaya memusing 360 darjah pemikiran manusia terhadap konsep ‘agama’,
bahawa Islam merupakan ad-deen, atau
sebuah manual kehidupan manusia yang lengkap.
Allahumma solli ‘ala
Muhammad, wa ‘ala aalihi wasahbihi wasallim.
Hazman Baharom merupakan
mahasiswa bidang Ekonomi dan Pengajian Sosial di Universiti Manchester, UK.
Juga merupakan seorang anak muda yang sedang berjinak-jinak dengan jalur fikir sekular.
[1]
Epistemologi bermaksud teori pengetahuan (theory
of knowledge). Hal ini merangkumi persoalan bagaimana ilmu tentang sesuatu
diperoleh, untuk siapa ilmu tersebut berkembang, serta elemen yang membentuk
ilmu tersebut.