Ikhwanul Muslimin & Masa Depan Mesir.
Revolusi 25 Januari di Mesir telah menarik perhatian dunia
dengan menyaksikan penggulingan Hosni Mubarak selepas hampir 30 tahun berkuasa
sebagai Presiden Mesir. Asas demokrasi dan tuntutan ekonomi telah membangkitkan
kesedaran rakyat Mesir untuk bangkit menumbangkan rejim yang zalim dan
mengamalkan kuku besi. Hari ini Negara Mesir sekali lagi mendapat perhatian
media tempatan mahupun antarabangsa ekoran dari peristiwa pemilihan Presiden
Mesir yang pertama pasca revolusi.
Proses pemilihan presiden kali ini menyaksikan tumpuan
diberikan kepada calon-calon yang mempunyai latarbelakang yang islamik seperti
beberapa nama ‘favourite’ iaitu Dr
Abdel Monem Abul Futouh (mantan pimpinan kanan Ikhwanul Muslimin), Syaikh Hazim
Abu Ismail (calon Salafi) , Dr Muhammad Salem al-Ewwa (mantan setiausaha
Persatuan Ulama’ Sedunia) dan juga calon dari Ikhwanul Muslimin (IM) melalui
Parti Kebebasan & Keadilan (FJP)
iaitu Ir Khairat Shatir.
Ikhwan Muslimin, yang memenangi
pilihanraya parlimen dengan majoriti yang besar beberapa bulan lepas telah mencalonkan
Ir Khairat Shatir sebagai calon bagi jawatan presiden. Keputusan ini diumumkan sendiri
oleh Mursyidul ‘Am IM, Dr Muhammad Badie’ setelah Majlis Syura IM seramai 108
orang (110 jumlah sebenar) meluluskan keputusan tersebut. Ini merupakan satu keputusan
yang mengejutkan sesetengah pihak, namun bagi pihak IM sendiri, keputusan meletakkan
calon mereka bertanding jawatan presiden mempunyai sebab tersendiri memandangkan
keadaan Mesir sekarang ini yang masih berada di bawah kuasa Majlis Tertinggi Angkatan
Bersenjata (SCAF) bukannnya diserahkan kepada rakyat lagi.
Di sebalik itu, beberapa
orang kanan Hosni Mubarak telah dicalonkan sebagai Presiden Republik Mesir
seperti Omar Sulaiman, Ahmad Syafiq dan Amru Musa. Masing-masing mempunyai
peranan yang tertentu semasa di bawah pemerintahan rejim Mubarak dan merupakan
penentang kuat kepada Islam di Mesir. Keberadaan mereka dalam senarai calon
menjadikan politik di negara republik ini semakin genting.
Perlu dimaklumi, angin
perubahan di Mesir tidak dipandang enteng oleh negara-negara besar dunia seperti
Amerika Syarikat (AS), Israel, Eropah, Turki dan lain-lain. Perubahan
pemerintahan dan dasar luar Mesir akan mempengaruhi ‘iklim’ beberapa buah negara.
Israel dan AS pastinya tidak dapat duduk diam apabila menyaksikan IM memenangi
majoriti kerusi parlimen Mesir yang diadakan baru-baru ini. Ini tanda awal
Islam sebagai watak utama dalam pasca revolusi ini.
Jika diteliti, Israel dan
AS tidak hanya bimbang pengaruh Islam akan kembali berakar di bumi anbiya’ itu
tetapi dalam masa yang sama, mereka mungkin akan kehilangan ‘aset’ mereka yang
paling bernilai iaitulah minyak. Terusan Suez merupakan salah satu lalu lintas
mengangkut petroleum terpadat di dunia. Minyak juga merupakan senjata politik
oleh negara Arab yang terlibat dalam perang Arab-Israel pada 1973-1974. Kerana
itu menjadi keutamaan Israel dan AS untuk memastikan fundamental dan polisi luar negara Mesir tidak jatuh ke tangan
golongan pro-Islamis.
Pemilihan Presiden Republik
Mesir Mei ini akan menjadi penentu segala-galanya. Meskipun rejim zalim Hosni
Mubarak telah pun tumbang beberapa bulan yang lalu, itu tidak bermakna Negara Mesir
sudah pun bebas dari cengkaman musuh-musuh Islam. Majlis Perwakilan Rakyat
Mesir telah mengeluarkan suatu bentuk draf menghalang konco-konco Hosni Mubarak
daripada bertanding dalam pemilihan presiden kali ini namun draf itu enggan
diiktiraf oleh SCAF. IM perlu mengatur strategi bagi memastikan kemenangan calon-calon
pro-Islamis di Mesir atau Mesir akan kembali ke zaman kelam.
Muhammad Hafiz Bin Mansor.
Timb Presiden PERSADA.
Muhammad Hafiz Bin Mansor.
Timb Presiden PERSADA.