Islam dan Perjuangan

| |


Realiti semasa, jika diibaratkan dunia ini sebagai susunan buku, Islam berada di bawah sekali. Kita hanya melihat Islam sebagai 'ritual', tidak lagi Islam yang syumul. Mengapa? Seolah-olah Islam itu hanyalah puasa, solat, zakat, dan haji semata-mata.

Sedangkan Allah SWT pernah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan..." (2:208)

Menuju Masa Depan


Seorang yang sedar bahawa hanya Allah SWT yang menciptakannya, hanya Allah yang berkuasa mengatur segala peredaran alam ini, pastinya akan mengetahui tanggungjawabnya untuk kembali mengagungkan Islam pada zaman penuh fitnah dan cubaan ini. Mereka cuba sedaya mungkin untuk mengajak masyarakat seluruhnya ke arah mengaplikasikan Islam secara keseluruhan, dalam semua aspek kehidupan. Tetapi malangnya, banyaknya fitnah terhadap Islam berpunca daripada umat Islam sendiri, selain daripada sikap prejudis musuh-musuh Islam dari luar.


Amat pelik, bagi seorang yang berfikiran waras, apabila melihat banyaknya negara yang majoritinya umat Islam, tetapi Islam tidak dilaksanakan sebagai panduan dalam mengemudi negara. Jika negara-negara Barat memilih sekularisme, ia logik kerana mereka pernah berhadapan 'pengalaman pahit' bersama rejim-rejim Kristian di Eropah. Harta mereka dirampas, ilmu pengetahuan dihalang untuk disebarkan terutamanya melibatkan bidang sains, ramainya wanita dibunuh kerana gereja menuduh mereka sebagai ahli sihir dan sebagainya. Ramainya rahib-rahib pengampu yang yang bertanggungjawab menggunakan nama agama Kristian sebagai pelali untuk masyarakat melupakan kesakitan yang dialami mereka akibat kezaliman pemerintah.



Karl Marx, seorang filasuf berbangsa Jerman pernah menulis berkenaan agama. Baginya, agama merupakan 'candu masyarakat'. Hal ini berdasarkan pemerhatiannya terhadap masyarakat Eropah yang menderita di bawah pemerintahan yang memberi kuasa kepada gereja, terutamanya semasa zaman gelap. Kerana agama, orang miskin dapat menerima kemiskinannya dan tidak berusaha mencabar kekuasaan puak penguasa yang kaya-raya (atau puak burguoisie seperti digelar Marx). Agama juga menjanjikan syurga kepada orang yang reda atas penderitaanya ditindas puak penguasa. Ya, atas dasar inilah Marx berpendapat, bahawa akan terjadi revolusi golongan proletar untuk menjatuhkan golongan burguoisie. Pada masa itu, agama juga akan lenyap kerana sudah tidak ada kegunaan lagi. Bagi Marx, agama ialah alat untuk penguasa menindas rakyat secara tanpa sedar.

Marx tidak salah dalam mengemukakan pendapatnya, bahawa agama digunakan untuk menindas rakyat. Lihat saja konteks lokaliti dan masa Marx menulis, iaitu di Eropah pada abad ke 19. Dia juga merujuk kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah Eropah, iaitu semasa rejim-rejim gereja memerintah. Tetapi, pendapat Marx juga dibidas atas dasar dia memaksakan pengalaman sejarah semua agama ke dalam pengalaman agama Kristian di Eropah.

Berbalik kepada persoalan asal, mengapa umat Islam sendiri yang pernah merasa pengalaman manis di bawah pemerintahan Islam, tiba-tiba berpaling dan menolak pelaksanaan Islam? Mengapa terjadi seperti yang Allah persoalkan di dalam al-Quran tentang orang-orang Yahudi,

"... Adakah kamu beriman kepada sebahagian kitab (Taurat) dan ingkar kepada bahagian yang lain?" (2:85)

Tentu, semuanya berbalik kepada persoalan pemikiran. Pemikiran Islam selamanya merangkumi dua sisi, iaitu sisi dunia serta akhirat sebagai menyatu dalam pandangan semesta Islam. Hal ini terungkap dalam kata-kata seorang pemikir tempatan, Prof Syed Naquib al-Attas;

"There's no dichotomy between the sacred and the profane. The worldview of Islam encompasses both ad-dunya and al-akhirah"

Ya, masalah yang menyelubungi umat Islam ialah masalah pemikiran. Umat hanya melihat Islam sebagai 'religion', bukan sebagai 'deen' yang syumul dan menyeluruh. Kita terikut-ikut dengan definisi agama berkiblatkan sekularisme, seperti mana seorang ahli sosiologi Perancis, Emile Durkheim, ketika menerangkan fungsi agama, salah satunya ialah memisahkan antara perkara yang 'sacred' dan perkara yang 'profane'.


Baiklah, ayuh kembalikan masyarakat kepada pemikiran Islam. Tetapi bagaimana?

Titik permulaan, Allah berfirman,

"Serulah manusia kepada jalan Rabb-mu dengan hikmah, dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabb-mu, Dialah yang lebih mengetahui akan siapa yang sesat daripada jalannya dan Dialah yang mengetahui, siapakah yang mendapat petunjuk." (16:125)

Ya, menjadi tanggungjawab kepada setiap umat Muhammad SAW untuk mengajak manusia kepada Allah SWT. Mengajak manusia supaya setiap perbuatan, kata-kata dan niat hanyalah berpusatkan kepada Allah semata-mata. Allah menyuruh kita mengajak menusia kepada pemikiran Islam, iaitulah kepada pelaksanaan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Ayuh, marilah kita semua menggalas tugas murni ini. Jernihkanlah pemikiran masyarakat kepada pemikiran Islam yang syumul dan harmoni.

Kesimpulannya, perjuangan menegakkan Islam bukannya satu tugas mudah. Ia merupakan jalan yang penuh dengan ranjau dan cubaan yang bakal menghalang di perjalanan. Janganlah kita berasa lemah, kerana perjuangan ini telah dijanjikan kemengan oleh Allah SWT. Saya ingin sekali berkongsi akan hadis ini, yang amat saya sukai;

Ketika Khabbab bin al-Aratt mengadu kepada Nabi SAW tentang penderitaan yang dihadapinya dalam perjuangan menegakkan Islam, dia berkata,

"Adakah engkau tidak mendoakan kami, wahai Pesuruh Allah? Adakah engkau tidak mendoakan kejayaan kami?"

Maka Nabi SAW amat kecewa sehingga baginda terduduk, dan mukanya merah. Kemudian baginda menjawab,

"(Seorang Muslim) sebelum kamu pernah dipotong isinya hingga ke tulang dengan alat pemotong besi, dan ada juga yang pernah digergaji badannya hingga terbelah dua, tetapi mereka tetap tidak meninggalkan Islam. Demi Allah! Allah pasti akan memberikan kemenangan kepada Islam, ketika itulah seseorang yang bermusafir dari San'a ke Hadramaut tidak ada ketakutan lagi melainkan kepada Allah semata-mata, dan tidak ada bahaya lagi yang akan menimpa biri-birinya melainkan serigala. Tetapi kamu selalu bersikap tidak sabar."
(HR Bukhari)

Dua perkara penting daripada hadis ini. Pertama, kerja-kerja menegakkan Islam pasti akan diselangi dengan kesusahan dan derita. Kedua, akhirnya, Islam pasti akan menang.

Persoalannya, adakah kita tidak mahu berada dalam kalangan mereka yang menegakkan Islam hanya kerana penderitaan yang bakal dihadapi? Cuba tanya diri kita, pada saat kemenangan Islam datang nanti, adakah kita mahu jadi sekadar pemerhati, atau menjadi penggerak ke arah kemenangan, yang meraikan kemenangan itu?

Bersama sebarkan dan sila tinggalkan kritikan anda | Design by : SeutasTasbih Blog
Posted by Hazman Baharom on 23:51. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Islam dan Perjuangan"

Leave a reply